Sunday, 28 May 2017

Sunday (16/4/2017) - Day 2 (End)

Assalamualaikum and good day to all. Continuing from where I left before in Malay...

Ahad, (16/4/2107) - Day 2 (Akhir)

Pada pukul 4.00 am, kami telah ke rumah anak-anak perempuan PEKEAS dan mengejutkan mereka agar bangun dan mengambil wudhuk. Anak-anak lelaki PEKEAS sampai pada pukul 4.45 am bersama dengan fasilitator-fasilitator lelaki. Seorang sukarelawan kami iaitu Amirul telah ditugaskan untuk mengetuai qiamullail pada pagi itu. Usai qiamullail, anak-anak PEKEAS terbaring kepenatan sementara menunggu Subuh. Pukul 8.00 am, kami telah meminta anak-anak PEKEAS serta para fasilitator untuk berkumpul di perkarangan rumah utama PEKEAS untuk senaman ringan spontan yang diketuai oleh Amirul dan Ikram dan pengagihan tugas untuk gotong-royong. Aktiviti gotong royong dapat diselesaikan sejam awal dan kami telah mengadakan pertandingan mencipta rakit secara spontan demi mengisi masa yang ada sebelum makan tengahari dan majlis penutup.

Selesai makan tengahari dan solat Zohor, kami telah mengumpulkan kesemua anak-anak PEKEAS dan mengagihkan baju rasmi program yang akan dipakai sepanjang berlangsungnya majlis penutupan ‘ProjekUMBI16/17’ nanti. Kegembiraan jelas terpancar apadi wajah mereka apabila kami mengagihkan baju tersebut kepada mereka. Kami meminta mereka untuk membersihkan diri mereka sementara kami melakukan persiapan terakhir untuk majlis penutupan. Setelah selesai persiapan majlis penutup, kami telah pulang ke penginapan kami dan bersiap sedia untuk majlis penutup yang akan berlangsung pada pukul 4.00 pm. Sewaktu kami bersiap, kami mendapat berita bahawa seorang wartawan bersama seorang jurugambar daripada akhbar Metro Ahad sudah tiba. Shamin, Fatin dan Adlina kelam kabut bersiap untuk menjemput mereka. Kami yang lain turut tergesa-gesa bersiap supaya dapat tolong apa yang patut. Shamin dan Fatin telah ditemubual oleh wartawan tersebut manakala kami yang lain mengarahkan agar anak-anak PEKEAS melakukan persiapan terakhir untuk ‘fashion show’ nanti. Suasana agak kelam kabut kerana kami baru sahaja dapat tahu bahawa ada VIP yang akan menghadiri majlis penutup kami. Kami terpaksa menyusun semula aturcara majlis agar sesuai dengan tetamu dan memastikan sistem PA berfungsi.

Saat yang dinanti-nantikan telah tiba. Tepat pukul 4.00 pm majlis penutup ‘ProjekUMBI16/17’ pun berlangsung dengan jayanya. Sebelum kami makan, tiba-tiba anak-anak PEKEAS bangun menuju ke hadapan meja VIP dan berdiri mengikut ketinggian. Kemudian, Kak Shima yang merupakan pembantu penyelia di situ memainkan sebuah lagu dan anak-anak PEKEAS menyanyi dua buah lagu sambil membuat gaya. Kami sangat terkejut dan terharu dengan lagu-lagu yang telah dihadiahkan buat kami. Sewaktu lagu pertama sampai ke penghujungnya, saya yang sedang merakam video mereka tidak dapat menahan sebak lalu mengalirkan air mata. Rasa terharu yang teramat sangat walaupun tahu persembahan tersebut mereka sudah lakukan banyak kali dan bukan sahaja khas untuk kami. Boleh dikatakan kesemua fasilitator mengalirkan air mata termasuk yang lelaki dan anak-anak PEKEAS turut menangis walaupun ada yang cuba menahan diri daripada berbuat demikian. Ini menunjukkan betapa rapatnya hubungan yang telah terjalin antara kami dan kejayaan kami dalam mengusik hati mereka.

Ada yang makan sambil menangis, ada yang cuba kawal emosi dan makan dan ada juga yang tidak mahu makan kerana sedih dengan perpisahan tersebut. Selesai makan, kami mengemas perkarangan rumah PEKEAS dan bersiap-siap untuk berangkat pulang. Sewaktu sedang sibuk mengemas, anak-anak PEKEAS sibuk mendekati fasilitator dan meminta tag nama fasilitator sebagai kenangan. Perasaan saya pada waktu itu sukar untuk digambarkan kerana pada kami, tag nama hanya sekadar tag nama namun pada mereka tag nama tesebut merupakan tanda ikatan yang telah kami jalinkan. Ada yang sampai menagis kerana tidak sempat untuk meminta tag nama fasilitator yang mereka minati. Selain itu, kami turut menerima surat daripada mereka yang membuatkan saya rasa terharu dan sedih apabila saya membacanya.

Masa untuk berpisah telah tiba, kami bersalaman dan berpelukan antara satu sama lain dan seperti biasa, air mata memang mencurah-curah pada ketika itu. Mak Andak dan Kak Shima turut sama mengalirkan air mata. Yang membuatkan saya lebih emosi adalah apabila anak-anak perempuan PEKEAS yang saya peluk semuanya membalas pelukan saya dengan erat. Pada saya, ini merupakan tanda mereka sudah membuka hati mereka sepenuhnya kepada kami menjadi satu tanda kejayaan buat saya kerana berjaya mengusik hati mereka. Ada juga di antara mereka yang tidak mahu memandang muka saya sewaktu saya bersalaman dan memeluk mereka. Saya tahu mereka berkelakuan sebegitu kerana tidak mahu saya melihat kesedihan yang terpancar di wajah mereka.


Segala memori dan pengalaman yang saya dapat daripada program JM kami akan saya simpan dengan rapi dan sepertinya sukar untuk dilupakan dalam tempoh masa yang terdekat. Sewaktu kami sibuk untuk menaiki van, hujan telah turun dengan lebatnya seperti menangisi perpisahan kami dengan anak-anak PEKEAS. Namun jika dilihat dari sudut positif, hujan yang turun seperti memberkati jalinan yang telah berjaya diwujudkan antara kami dan anak-anak di PEKEAS.

warm regards;
Ain Syahirah

No comments:

Post a Comment